Khamis, 5 April 2012

15 jenis makanan dilarang jual di kantin sekolah





Oleh: Syed Azwan Syed Ali
2011/04/26

KUALA LUMPUR: Makanan diproses seperti burger, hotdog dan nuget serta teh dan kopi adalah antara 15 jenis makanan 'tidak sihat' yang dilarang dijual di semua kantin sekolah rendah dan menengah seluruh negara mulai bulan depan. 

Makanan lain ialah mi segera, gula-gula dan coklat, konfeksi ais dan aiskrim, makanan jeruk, makanan mengandungi pewarna serta perisa tiruan, minuman berkarbonat dan jajan. Larangan itu adalah berdasarkan Garis Panduan Pemakanan Sihat Di Sekolah yang diputuskan oleh Kementerian Kesihatan. Bagaimanapun, ada 70 jenis makanan, termasuk nasi lemak dihadkan kekerapan jualannya kepada dua kali seminggu, disenaraikan sebagai makanan yang boleh dijual mengikut garis panduan baru yang dirangka bagi menangani masalah obesiti (kegemukan) dan diabetes di kalangan pelajar.



Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata cadangan itu terkandung dalam draf garis panduan penjualan makanan di kantin sekolah yang diputuskan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 4 April lalu. 

Beliau berkata, cadangan penyenaraian 70 jenis makanan dan larangan 15 jenis makanan itu disediakan Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan mengikut peruntukan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985. 

“Larangan penjualan makanan tidak sihat sejajar dengan usaha kementerian menangani masalah obesiti dan diabetes yang semakin meningkat di kalangan rakyat, terutama kanak-kanak. Ia langkah mencegah peringkat awal,” katanya kepada Berita Harian semalam. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum ini mengumumkan, peraturan itu adalah langkah proaktif kerajaan bagi menangani peningkatan masalah obesiti dan diabetes di kalangan pelajar dengan kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2002-2008 menunjukkan satu daripada empat kanak-kanak mengalami obesiti
Kajian universiti sama juga menunjukkan, 88.6 peratus pelajar membeli makanan dan minuman yang disajikan di kantin sekolah, sekali gus meningkatkan lagi hasrat kerajaan untuk memastikan makanan sihat dijual di sekolah. 

Turut dicadangkan ialah supaya Indeks Jisim Badan (BMI) wajib direkodkan dalam kad laporan prestasi pelajar berbanding amalan sebelum ini yang hanya mengkehendaki guru merekodkan berat dan ketinggian pelajar. 

Pakar pemakanan UKM, Prof Dr Mohd Ismail Mohd Noor, berkata amalan merekodkan BMI diamalkan negara maju seperti Amerika Syarikat seawal kanak-kanak berusia dua tahun bagi membolehkan mereka dibimbing dengan amalan pemakanan dan aktiviti fizikal sihat. 

“Obesiti sebenarnya disebabkan pelbagai punca makanan, namun peraturan baru itu adalah permulaan baik dalam memastikan pelajar mendapat makanan sihat dan seimbang di sekolah sebelum ibu bapa memainkan peranan di rumah dengan memastikan amalan baik diteruskan,” katanya. 

Kajian menunjukkan masalah obesiti di kalangan kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun meningkat daripada 9.7 peratus pada 2001 kepada 13.7 peratus pada 2007. Peningkatan dikaitkan dengan amalan pemakanan tidak sihat dan aktiviti fizikal tidak aktif, iaitu 76 peratus kanak-kanak didapati menghabiskan sebahagian besar masa dengan menonton televisyen atau duduk di hadapan komputer.



Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/15jenismakanandilarangjualdikantinsekolah/Article/

Ahad, 25 Mac 2012

Piramid Makanan



# Aras pertamanasi, roti, mil, bijirin dan ubi

Aras 1 Piramid Makanan mengandungi kumpulan makanan yang kaya dengan karbohidrat kompleks, yang merupakan sumber tenaga yang utama. Makanan ini juga membekalkan vitamin, mineral, serat dan sedikit protein. Di dalam setiap hidangan, makanan daripada kumpulan ini perlu diambil paling banyak. Contoh makanan bagi kumpulan ini ialah nasi, bubur, mi, mihun, roti, pasta, bijirin sarapan, capati, thosai, biskut, ubi keledek, keladi dan kentang. Pilihlah bijirin atau hasil bijirin mil penuh seperti beras perang, tepung gandum mil penuh atau tepung atta, roti atau biskut mi penuh.

# Aras keduasayur-sayuran dan buah-buahan

Contoh makanan bagi kumpulan sayur-sayuran ialah kobis, tomato, lobak merah, petola, sayuran berdaun hijau (bayam, sawi, kangkung) manakala buah-buahan antaranya betik, pisang, tembikai, mangga, jambu batu dan sebagainya. Makanan dalam aras ini berfungsi membekalkan vitamin dan mineral. Vitamin C, Vitamin A serta zat besi juga boleh diperoleh dalam sayur-sayuran dan buah-buahan.

# Aras ketigaayam, daging, ikan, telur, kekacang, susu dan produk tenusu. 

Daging, ayam, ikan dan kekacang terletak di Aras 3 Piramid Makanan. Makanan ini kaya dengan protein, vitamin B, zat besi, zink dan magnesium. Pilihlah daging rendah lemak dan buang semua lemak yang kelihatan pada daging dan ayam. Sekali sekala tukarkan penggunaan daging dengan kekacang kerana ianya rendah lemak dan kaya dengan serat. Contoh kekacang adalah kacang soya, kacang dhal dan kacang merah serta hasil kekacang seperti tauhu dan tempe.

Hasil tenusu juga terletak di Aras 3 Piramid Makanan. Makanan ini kaya dengan protein, kalsium dan biasanya diperkaya dengan vitamin D. Contoh hasil tenusu adalah susu, keju, yogurt dan dadih. Pilihlah hasil tenusu rendah lemak.



# Aras keempat lemak, minyak, gula dan garam

Lemak, minyak dan gula dan juga makanan yang kaya dengan bahan ini terletak di Aras 4 Piramid Makanan. Kumpulan makanan ini dapat membekalkan tenaga tetapi hanya sedikit sahaja makanan dari kumpulan ini yang perlu dimakan. 





Sumber: http://fahmi-ibrahim.blogspot.com/2010/02/piramid-makanan.html

Sabtu, 24 Mac 2012

Apa itu Kalori, BMR dan DCR?





Apa itu kalori?

Kalori ialah suatu unit tenaga. Nilai kalori dalam sesebuah makanan wujud kerana kehadiran 3 unsur macronutrient, iaitu Karbohidrat (Carbohydrate), Protein dan Lemak (Fat). 1g Karbohidrat bersamaan dengan 4kcal1g Protein bersamaan dengan 4kcal, manakala 1g Lemak bersamaan dengan 9kcal. Sebagai contoh, sekiranya makanan A mengandungi 10g karbohidrat, 10g protein dan 10g lemak, maka jumlah kalori dalam makanan A ialah:
(10g x 4) + (10g x 4) + (10g x 9) = 170kcal (90kcal dari lemak)
Setiap pekerjaan yang kita lakukan sehari-hari memerlukan tenaga, dan tenaga ini disukat juga menggunakan unit kalori. Sebagai contoh, seseorang akan menggunakan (membakar) 70kcal apabila berjalan selama 30 minit, dan 110kcal apabila mengemas rumah selama 30 minit. Ketika tidur juga kita membakar kalori untuk memastikan kita terus bernafas dan jantung kita terus-menerus mengepam darah keseluruh badan. Pendek cerita, apa sahaja yang berlaku dalam badan kita, dan apa sahaja yang kita lakukan, semuanya menggunakan kalori.

Apa itu BMR dan DCR?

Setiap individu mempunyai keperluan kalori harian (Daily Calorie Requirement/DCR) yang berbeza, unik, bergantung pada faktor umur, jantina, berat, dan ketinggian seseorang. Persoalannya sekarang, bagaimana nak tahu DCR masing-masing? Untuk mengetahui nilai DCR, kita terlebih dahulu perlu menentukan nilai BMR (Basal Metabolic Rate), iaitu jumlah kalori asas yang kita perlukan agar kemandirian tubuh kita berterusan (bernafas, degup jantung, proses biokimia badan), menggunakan formula Harris-Benedict seperti berikut:
Lelaki: BMR = 66 + (13.7 x KG) + (5 x CM) – (6.8 x UMUR)
Wanita: BMR = 655 + (9.6 x KG) + (1.8 x CM) – (4.7 x UMUR)
Kemudian, untuk mendapatkan DCR, apabila nilai BMR sudah diperolehi, nilai tersebut hendaklah didarab dengan ‘faktor aktiviti’ seperti berikut:
Sedentary (sedikit atau tiada senaman) = BMR x 1.2
Lightly active (bersukan 1-3 hari/minggu) = BMR x 1.375
Moderately active (bersukan 3-5 hari/minggu) = BMR x 1.55
Very active (bersukan 6-7 hari/minggu) = BMR x 1.725
Extra active (bersukan 2 kali sehari) = BMR x 1.9
Sebagai contoh, Aminah Binti Kasim Selamat berumur 30 tahun, berketinggian 167.6 cm, dan mempunyai berat 54.5 kg. Beliau bersukan 4 kali seminggu, maka:
BMR Aminah = 655 + 523 + 302 – 141
= 1339 kcal/hari
DCR Aminah = 1339 x 1.55
= 2075 kcal/hari


Khamis, 15 Mac 2012

BMI Pelajar Direkod Dalam Kad Laporan



Utusan Malaysia
18 April 2011

PETALING JAYA 17 April - Mulai sekarang, indeks jisim badan (BMI) setiap pelajar akan direkodkan di dalam kad laporan prestasi oleh guru untuk perhatian ibu bapa.

Arahan serta-merta itu dibuat oleh kerajaan dalam usaha menangani peningkatan masalah berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan rakyat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sebelum ini, BMI tidak dicatatkan dalam kad laporan pelajar menyebabkan sesetengah ibu bapa tidak mengawal pemakanan anak-anak kerana tidak tahu sama ada berat badan mereka ideal, terlebih atau obes.

"Langkah itu diharap dapat membantu ibu bapa yang mempunyai anak dengan berat badan berlebihan mendapatkan nasihat klinik kesihatan berdekatan bagi mendapatkan kembali berat badan ideal,'' katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Penutup Konvensyen Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) dan melancarkan kad ahli PPKK 2010-2013, di sini hari ini.

Selain itu, jelasnya, penjualan makanan yang tidak berkhasiat, contohnya mengandungi gula dan garam berlebihan serta minuman ringan di kantin sekolah, tidak lagi dibenarkan berkuat kuasa serta-merta.

Tambahnya, langkah itu yang dipersetujui dalam satu mesyuarat jawatankuasa dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 4 April lalu adalah permulaan untuk memperkenalkan gaya hidup lebih sihat.

"Ini berikutan Malaysia berada pada kedudukan keenam di Asia sebagai negara yang mempunyai orang dewasa dengan kadar obesiti yang tinggi," katanya.

Ujar Tiong Lai, kajian terbaru Kementerian Kesihatan juga menganggarkan kira-kira 1.7 juta rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas mengalami obesiti.

Katanya, situasi itu amat membimbangkan kerana obesiti meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit diabetes, kardiovaskular dan beberapa jenis kanser.

Terdahulu, berucap pada majlis itu, Tiong Lai berkata, negara masih dibelenggu masalah penyakit tidak berjangkit seperti diabetes yang kini menduduki tangga teratas dalam 10 senarai penyebab utama kemasukan dan juga kematian di hospital kerajaan.

"Kurang bersenam, terdedah kepada makanan yang mempunyai kalori dan kandungan garam serta merokok adalah faktor penyumbang kepada ancaman penyakit ini.

"Dianggarkan 1.5 juta rakyat Malaysia dewasa menghidap diabetes dan 4.8 juta menghidap darah tinggi," ujarnya.


Gula Tambahan Punca Anak Obes


Oleh: FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN
7 April 2011

GOLONGAN kanak-kanak memerlukan pemakanan untuk tujuan iaitu tenaga, pertumbuhan fizikal yang sempurna dan perkembangan mental. Justeru, piramid panduan pemakanan menyarankan seorang kanak-kanak berusia antara dua hingga 10 tahun perlu menikmati lima kumpulan hidangan iaitu bijian, buah-buahan dan sayur-sayuran, daging dan protein, tenusu serta minyak, gula dan garam dalam kadar tepat, seimbang serta dipelbagaikan.

Bagaimanapun, Perunding Pakar Diet, Indra Balaratnam berkata, trend pemakanan semasa kanak-kanak di negara ini menunjukkan masalah kegemukan atau obesiti di kalangan golongan kecil itu semakin bertambah iaitu 5.4 peratus daripada kira-kira 21,249 orang kanak-kanak yang direkodkan. 

Masalah itu, katanya, berpunca daripada amalan pemakanan kanak-kanak yang lebih gemar sajian mengandungi kadar gula dan lemak tinggi seperti aiskrim, donut manis, agar-agar, mufin, burger, coklat, roti krim, gula-gula, bijirin sarapan, biskut serta minuman berkarbonat.

Jelasnya, seseorang kanak-kanak sepatutnya diberi lebih banyak hidangan mengandungi sumber gula semulajadi yang turut dikenali sebagai glukosa, fruktosa dan laktosa seperti susu segar, buah-buahan dan sayur-sayuran.

"Namun, kebanyakan ibu bapa di negara ini dilihat membiarkan anak-anak menikmati hidangan mengandungi gula tambahan atau turut dikenali Sirap Jagung Solid, Sukrosa dan Sirap Glukosa Solid dalam kadar tinggi. 

"Keadaan negatif ini bukan sahaja mengakibatkan anak-anak mengalami obesiti tetapi juga gigi rosak, kekurangan nutrien dan lebih teruk, penyakit kencing manis.

"Setiap hari kanak-kanak hanya memerlukan lima hingga enam sudu teh gula manakala dewasa, tidak melebihi 10 sudu teh gula.

"Namun kebanyakan individu bagi kedua-dua golongan itu didapati mengambil sehingga 24 sudu teh gula," kata Indra.

Beliau memberitahu demikian ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk Generasi Sihat, Kesedaran Pengambilan Gula dalam Nutrisi Kanak-Kanak sempena Pelancaran Anmum Essential Tanpa Gula Tambahan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Indra, bagi mengatasi dan membendung obesiti kanak-kanak, ibu bapa adalah golongan utama yang perlu memainkan peranan mengawal dan menentukan jenis hidangan dinikmati anak-anak

Katanya, ibu bapa harus mempunyai maklumat mendalam bagi membantu mereka mengetahui sajian terbaik untuk anak-anak.

Pada masa sama ibu bapa sendiri perlu menikmati atau menyediakan hidangan berkhasiat di rumah supaya ia turut dimakan anak-anak.

Bukan itu sahaja, ibu bapa perlu menerangkan secara terperinci kepada anak-anak mengapa sesuatu makanan itu perlu atau tidak perlu dimakan.

David Ross (tengah) bersama selebriti, Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot dan Jeann Wong (kanan) pada pelancaran susu Anmum Essential Baru Tanpa Gula Tambahan di Kuala Lumpur baru-baru ini. 

Sementara itu Pengurus Besar Fonterra Brands Malaysia, David Ross, memberitahu, Anmum Essential Tanpa Gula Tambahan adalah hasil usaha syarikat berkenaan yang sentiasa mencari jalan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan rumusan keluarannya.

Produk terbaru keluaran Fonterra itu adalah susu untuk tumbesaran kanak-kanak yang pertama tanpa gula tambahan diperkenalkan di pasaran negara ini.

Ia mengandungi lebih 100 peratus nutrien penting untuk otak iaitu Asid Dokosaheksanoik (DHA) dan Gangliosida (GA) yang mampu membantu memaksimumkan hubungan sel-sel otak bagi mempercepatkan pembelajaran.


Panduan Diet Piramid Makanan Malaysia Untuk Anak Anda

Oleh: Nur Amirah
3 Februari 2012


Pemakanan yang baik semasa kanak-kanak penting untuk menyokong keperluan anak anda yang sedang membesar. Di samping menambahkan ketinggian dan berat badan, anak-anak juga sangat aktif secara fizikal. Mereka memerlukan tenaga dan nutrien yang mencukupi untuk tumbesaran, memelihara fungsi tubuh dan kesihatan keseluruhan. 




Apabila anak anda berinteraksi secara aktif dengan persekitaran dan orang ramai, mereka terdedah kepada pelbagai ancaman kesihatan seperti jangkitan bakteria dan virus. Pemakanan yang baik dapat membantu mengekalkan sistem imun yang kuat serta menggalakkan pemulihan lebih cepat jika jatuh sakit.
Pemakanan yang baik juga penting untuk perkembangan mental kanak-kanak. Otak dan sistem saraf anak anda memerlukan nutrien mencukupi untuk berfungsi secara optimum. Dengan sokongan pemakanan yang baik, anak anda akan lebih bersedia untuk belajar dan cemerlang di dalam akademik.
Bagi mencapai tumbesaran dan perkembangan optimum, anak anda memerlukan pelbagai nutrien untuk pelbagai fungsi, yang boleh didapati daripada diet hariannya.

Karbohidrat

Sumber tenaga terbaik untuk tubuh.
Karbohidrat (seperti kanji, gula) akan dipecahkan kepada glukosa serta digunakan untuk menggerakkan fungsi tubuh dan membekalkan tenaga. Glukosa adalah satu-satunya sumber tenaga untuk otak anak anda.
Sumber karbohidrat kompleks yang baik termasuk beras, gandum, oat, barli dan produk-produk yang diperbuat daripada bahan-bahan ini (seperti mihun, kuetiau, roti, biskut dan bijirin sarapan), dan juga ubi seperti kentang, keledek dan keladi.

Protein

Asas binaan tulang, darah dan otot.
Membaiki, mengganti dan menghasilkan tisu untuk memastikan tumbesaran optimum.
Protein diperbuat daripada asid-asid amino. Tubuh memerlukan 22 asid amino: 14 boleh dihasilkan di dalam tubuh dan lapan mesti diambil daripada makanan (asid amino perlu).
Protein daripada sumber haiwan (seperti ikan, ayam itik, daging, telur, susu dan produk tenusu) dan sumber tumbuh-tumbuhan (seperti kekacang, kacang pea dan lentil).

Lemak

Membekalkan tenaga, vitamin-vitamin larut lemak dan asid-asid lemak penting yang hanya boleh didapati daripada makanan.
Mengekalkan suhu tubuh dan menghasilkan hormon serta sel-sel dalam tubuh.
Sumber lazim adalah minyak masak (seperti minyak sawit, minyak kacang soya). Lemak-lemak tak tepu, seperti daripada ikan, legum, kekacang dan biji-bijian merupakan sumber lemak diet yang baik. Kurangkan pengambilan lemak tepu daripada sumber haiwan seperti ghee, lemak khinzir dan juga kelapa.

Vitamin dan mineral

Mengekalkan tumbesaran dan kesihatan keseluruhan, kerana kedua-duanya menjalankan fungsi-fungsi penting di dalam tubuh.
Diperlukan dalam kuantiti kecil, tidak boleh dihasilkan dalam tubuh dan hanya boleh didapati daripada makanan.
Keperluan boleh dipenuhi dengan memakan pelbagai jenis makanan daripada lima kumpulan makanan dalam piramid makanan.

Air

Mengekalkan keseimbangan cecair tubuh.
Menyerap haba metabolik di dalam tubuh. Berfungsi sebagai medium pengangkutan di dalam tubuh (seperti menghantar nutrien ke organ-organ di dalam tubuh dan menyingkirkan bahan kumuh daripada tubuh).

Amalkan asas pemakanan sihat

Hanya anda yang boleh memastikan anak anda menerima yang terbaik dari segi pemakanan. Anda beruntung kerana ia bukanlah sesuatu yang sukar. Prinsipnya mudah – bekalkan makanan yang betul, pada masa yang betul, serta dalam jumlah yang betul.
Jadikan Piramid Makanan Malaysia sebagai panduan apabila membuat pilihan makanan. Hidangkan makanan daripada kelima-lima kumpulan makanan di dalam piramid tersebut mengikut bilangan hidangan yang disarankan. Jangan lupa untuk mempelbagaikan makanan yang disediakan setiap hari kerana tiada satu jenis makanan yang boleh memenuhi kesemua keperluan pemakanan anak anda. Sentiasa berikan alternatif yang berkhasiat untuk makanan yang anak anda tidak gemari.
Contohnya, hidangkan kangkung jika dia tidak gemarkan bayam; berikan ayam jika dia enggan makan ikan. Paling penting adalah memberinya gabungan makanan-makanan berkhasiat yang membekalkan pelbagai nutrien untuk menyokong keperluannya.
Berikut beberapa tip tabiat diet yang baik untuk ibu bapa amalkan di rumah:
  • Pastikan anak anda makan sarapan pagi sebelum ke sekolah. Sarapan yang berkhasiat akan memberinya permulaan hari yang baik, menggerakkan metabolismenya, serta memberikan tenaga untuknya belajar dan bermain di sekolah. Anak anda boleh pilih sarapan pagi yang ringkas seperti segelas susu bersama semangkuk bijirin sarapan atau sandwich tuna. Bagi ibu bapa yang sentiasa terburu-buru pada waktu pagi, cuba rancang dan sediakan bahan ramuan pada malam sebelumnya.
  • Pastikan anak anda mempunyai tiga waktu makan utama dan dua snek setiap hari. Makan snek antara waktu makan akan membantu anak anda bertenaga sepanjang hari. Pilih snek yang berkhasiat, seperti kraker biasa, buah-buahan dan yogurt. Bagaimanapun, jangan ganti waktu makan utama dengan snek. Jangan beri snek kepada anak anda dua jam sebelum waktu makan utama bagi mengelakkan anak anda hilang selera semasa waktu makan utamanya.
  • Sediakan bekalan snek yang berkhasiat (seperti sandwic, buah-buahan potong) untuk anak anda bawa ke tadika atau sekolah. Ini merupakan satu cara memastikan dia makan secara sihat walaupun di luar rumah.
  • Kurangkan menggoreng dalam minyak yang banyak, guna kaedah masak yang sihat seperti stim, kacau goreng, bakar dan panggang. Had penggunaan lemak, gula, garam dan perasa dalam masakan.
  • Beri anak minum susu setiap hari. Jangan berhenti hanya kerana dia telah bersekolah. Galakkan dia minum 6-8 gelas air kosong sehari. Anda juga boleh memberi anak anda sumber cecair lain seperti sup dan jus, sebaik- baik-nya yang rendah lemak dan gula.
Pemakanan yang baik bukan sekadar boleh mencegah masalah berlebihan berat atau kurang berat dalam kalangan kanak-kanak. Ia adalah asas ke arah membentuk kesihatan mereka untuk jangka masa panjang. Jadi tanamlah tabiat makan secara sihat di dalam anak anda daripada kecil, supaya dia akan menikmati tumbesaran dan perkembangan yang optimum, dan juga kesihatan yang baik pada masa hadapan.
Kredit: DR TEE E SIONG ialah Pengerusi Ahli Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Bulan Nutrisi Malaysia (NMM).


Isnin, 12 Mac 2012

My Plate

MyPlate adalah salah satu usaha United States Department of Agriculture (USDA) untuk mendidik rakyat Amerika untuk mengamalkan pemakanan yang sihat. Amerika diantara negara yang mempunyai bilangan kanak-kanak yang mengalami masalah obesiti yang tinggi. Maka dengan itu, pakar nutrisi di Amerika memilih cara yang paling berkesan dan mudah difahami oleh kanak-kanak untuk membendung masalah obesiti ini.  


Berikut adalah rajah 'MyPlate' yang diperkenalkan oleh USDA:




Fruits = Buah-buahan
Vegetables = Sayur-sayuran
Grains = Bijirin
Protein = Protein (Ikan, Daging, Kekacang)
Dairy =  Produk tenusu


Berikut adalah butiran penting mengenai 'MyPlate':


Menyeimbangkan kalori:

  • Nikmati makanan anda, tetapi dengan jumlah yang sedikit.
  • Elakkan daripada melebihi bahagian masing-masing.
Makanan yang perlu ditingkatkan:
  • Penuhi separuh pinggan dengan buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • jadikan sekurang-kurangnye sebahagian daripada bijirin anda, bijirin penuh (gandum).
  • Tukarlah penggunaan susu kepada susu tanpa lemak atau susu rendah lemak.
Makanan yang perlu dikurangkan:
  • Bandingkan kandungan Na (natrium / sodium} dalam makanan seperti sup, roti, dan makanan sejukbeku. Pilih makanan yang mempunyai angka terendah.
  • Minumlah air minuman/ air kosong berbanding air bergula.








Rabu, 7 Mac 2012

Obesiti 101.





Noor Izzati Ariff
Rabu, 8 Mac 2012  12:10



Obesiti



Obesiti dan lebih berat badan di definasikan sebagai pengumpulan lemak yang tidak normal atau berlebihan, yang boleh memudaratkan kesihatan. Mengikut WHO, nilai BMI yang lebih atau sama dengan 25 ialah kategori lebih berat badan. Nilai BMI lebih atau sama dengan 30 termasuk dalam kategori obesiti (WHO, 2011).

Mengikut Khalid Ibrahim (2011), obesiti ialah pengumpulan lemak yang berlebihan pada bahagian badan. Badan manusia membakar makanan mengikut keperluan tenaga masing-masing. Makanan yang berlebihan akan terkumpul ke organ-organ badan yang lain. Inilah yang berlaku apabila pemakanan dan pembakaran tidak seimbang, yang akhirnya akan menjadi punca kepada pelbaagai masalah kesihatan yang lebih kronik seperti penyakit kardiovaskular, pernafasan, diabetes, kencing manis, dan darah tinggi.



BMI



BMI adalah singkatan bagi Body Mass Index, ataupon Indeks Jisim Tubuh. BMI seseorang dikira mengikut rumus berikut:


Indeks Jisim Tubuh, (BMI) :
Berat (kg)

Tinggi (m) x Tinggi (m)

  
Pengkelasan BMI ini selaras dengan Jadual Klasifikasi BMI yang dikeluarkan oleh Organisasi Kesihatan Sedunia, WHO.

Klasifikasi BMI
Nilai BMI
Kurang Berat Badan
< 18.5
Normal
18.5 - 24.9
Lebih Berat Badan:
>= 25.0
Pra-obes
25.0 - 29.9
Obes:
>= 30.0
Obes kelas 1
30.0 - 34.9
Obes kelas 2
35.0 - 39.9
Obes kelas 3
>= 40.0


Dengan mengetahui nilai BMI seseorang, kita boleh menganggar secara kasar jumlah lemak yang ada dalam badan seseorang. Ianya bukanlah sepenuhnya tepat, tetapi suatu indikator yang baik untuk menganggar tahap kesihatan seseorang.

Obesiti kanak-kanak? 10 tips untuk ibu bapa dari Kevin Zahri




10 tip mudah yang ibu bapa boleh amalkan untuk kawal berat badan anak mereka.
  1. Biar kasih sayang bertempat: ramai ibu bapa gunakan makanan sebagai tanda kasih dan sayang. Tapi kalau anda betul-betul sayang, janganlah masak atau beli makanan yang menggemukkan sepanjang masa. Nanti yang susah anak tu juga. Kesian dia.
  2. Teladan yang baik: Kalau anda sendiri mengalami masalah berat badan, cubalah untuk kurangkan berat badan dan menjadi contoh teladan kepada anak anda.
  3. Tetapkan peraturan pemakanan: Disiplin dalam pemakanan kanak-kanak tu penting. Macam cikgu sekolah juga, anda perlu tetapkan waktu-waktu makan, bila makanan ringan dibenarkan dan aktiviti riadah. Pastikan anda enforce peraturan dan garis panduan anda denga konsisten.
  4. Makanan ringan untuk hujung minggu: Biarlah makanan sepanjang Isnin-jumaat sihat dan seimbang. Ganjaran makanan ringan seperti ais krim, chips, kuih dan lain-lain sesuai untuk hujung minggu dan cuti sekolah.
  5. Masa riadah setiap hari: Di zaman cyberworld, penting untuk memaksa kanak-kanak anda untuk keluar rumah dan melibatkan diri dalam aktiviti2 fizikal seperti bersukan, bermain dengan jiran dan lain-lain lagi. Jangka masa yang sesuai adalah 60 minit setiap hari!
  6. Kawal masa untuk PS3 dan telefon bimbit: Macam dalam tip di atas, pastikan anda mengawal waktu dan penggunaan alat permainan dan telefon bimbit kerana kedua-duanya penggalak MALAS!
  7. Sediakan snek yang sihat: Sarapan, makan tengah hari dan malam mungkin lebih mudah untuk dikawal, tetapi makanan di antara hidangan atau snek adalah pencetus kegemukkan kerana ia selalu TIDAK dikawal dan dipenuhi makanan yang TIDAK sihat. Jadi pastikan anda sediakan snek yang mudah dan sihat untuk kanak-kanak anda. Contoh adalah sandwich tuna, cereal oat, buah-buahan.
  8. Ketahuikah keperluan kalori anak anda: Setiap individu mempunyai keperluan kalori yang berbeza, termasuklah kanak-kanak. Ia bergantung kepada jantina, umur dan paling penting kadar aktiviti harian kanak-kanak tersebut.
  9. Semak diri: Tahukah anda keperluan kalori seharian anda mahupun diri sendiri?
  10. Buang tabiat lama: Kalau anak anda mengalami masalah kegemukkan, cuba buang tabiat-tabiat yang kurang sihat untuk jangka masa panjang. Pastikan perubahan pemakanan dan gaya hidup adalah kekal supaya ia menjadi tabiat yng baru untuk sepanjang hayat.
  11. Ia tanggungjawap anda: Jangan serahkan tanggungjawap kesihatan kanak-kanak anda kepada pihak ketiga seperti pengasuh, cikgu sekolah mahupun orang gaji. Kalau lah anda betul-betul sayangkan anak anda, pastikan berat badannya pun dalam kawalan anda.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes